Thursday, December 3, 2009

FIRMAN ALLAH


FIRMAN ALLAH

Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab
 (Lauh Mahfuz). (Surah Al-Israa': ayat 58)

MASUK SYURGA KERANA RAHMAT ALLAH


Masuk Syurga Kerana Rahmat Allah

Pohonlah rahmat Allah setelah beramal soleh 

Muhammad bin Almunkadir dari Jabir r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. keluar kepada kami dan bersabda: "Malaikat Jibril tadi datang kepadaku dan berkata: "Ya Muhammad, demi Allah yang mengutuskan mu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama lima ratus tahun diatas sebuah bukit yang lebar, panjangnya tiga puluh hasta kali tiga puluh hasta dan dikelilingi oleh laut seluas empat ribu farsakh dari tiap penjuru, disitu Allah s.w.t. mengeluarkan sumber air yang segar selebar satu jari dari bawah bukit, juga pohon delima pada tiap hari berbuah sebuah delima, maka bila siang hari turunlah orang itu untuk wuduk dan memetik delima, lalu dimakannya, kemudian berdiri sembahyang dan ia minta kepada Tuhan supaya dimatikan dalam sujud, dan supaya badannya tidak disentuh bumi atau lain-lainnya hingga bangkit dihari kiamat sambil sujud, maka Allah s.w.t. telah menerima permintaannya, kerana itu tiap kami naik turun dari langit selalu melaluinya ia sedang sujud. Jibril berkata: "Kami dapat dalam ilmu, bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah s.w.t. , lalu Allah s.w.t. menyuruh: "Masukkanlah hambaKu itu kedalam syurga dangan rahmatKu." Maka berkata orang itu: "Dengan amalku." Maka Allah s.w.t. menyuruh Malaikat supaya menghitung semua amalnya dan nikmatKu iaitu nikmat melihat (penglihatan), tiba-tiba nikmat penglihatan itu telah mengelilingi ibadatnya selama lima ratus tahun, sedang nikmat-nikmat Allah s.w.t. yang lain-lainnya belum. Maka Allah s.w.t. berfirman: "Masukkan ia kedalam neraka." dan ketika ditarik menuju keneraka, ia berkata: "Masukkanlah aku kedalam syurga dengan rahmatMu." 

Maka Allah s.w.t. berfirman kepada Malaikat: "Kembalikanlah ia." Lalu ditanya oleh Allah s.w.t.: "Hambaku, siapa yang menjadikan kau daripada tidak ada?" Jawabnya: "Engkau Tuhan." Lalu dutanya: "Apakah itu kerana amalmu atau rahmatKu?" Jawabnya: "Dengan RahmatMu." Lalu ditanya: "Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk beribadat lima ratus tahun?" jawabnya: "Engkau Tuhanku." Lalu ditanya lagi: "Dan siapakah yang menempatkan kau diatas bukit dan ditengah laut dan mengeluarkan air segar yang tawar dari tengah-tengah laut yang masin getir dan menumbuhkan buah delima tiap pagi, padahal buah itu hanya berbuah satu tahun satu kali, lalu kau minta kepadaKu untuk mati sujud, siapakah yang berbuat itu semua?" Jawabnya: "Engkau Tuhanku." Firman Allah s.w.t. : "Maka semua itu dengan rahmatKu." Malaikat Jibril berkata: "Segala sesuatu terjadi dengan rahmat Allah s.w.t.." 

Kesimpulannnya, pasti ada dua perkara: Yang pertama, memperbaik amalan. Yang kedua, bergantung kepada Allah dan menyingkirkan selainNya.

Keterangan dari Al-Quran dan Hadith 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan RAHMATNYA kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:21) 

Dan tiadalah aku (Nabi Yusuf a.s) berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi RAHMAT oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Yusuf: 53) 

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu RAHMAT dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): "Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!" Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberatberatnya. (Fussilat: 50) 

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.” (Riwayat Muslim) 

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Alfadhel daro Ibn Abi Ruwad dari ayahnya berkata: "Allah s.w.t. menurunkan wahyu kepada nabi Daud a.s.: "Hai Daud, gembirakan orang-orang yang berdosa, dan peringatkan kepada orang-orang siddiq." Maka Nabi Daud a.s bertanya: "Bagaimana menggembirakan orang-orang yang berdosa dan mengancam orang-orang yang siddiq?" Allah s.w.t. berfirman: "Gembirakan orang-orang yang berdosa bahawa tidak ada dosa yang tidak dapat Aku ampunkan dan peringatkan pada orang siddiq supaya mereka tidak berbangga (sombong) dengan amal perbuatan mereka kerana bila Aku tegakkan keadilanKu dan perhitunganKu pada seseorang pasti binasa."

Syeikh Muhyiddin Abdul Kadir al-Jailani berkata: DenganMu, kita tidak dapat sampai, sedang kami amat berhajat kepadaMu. Yakni, kita tidak dapat sampai ke mana-mana dengan amalan kita tanpa rahmat Allah Ta'ala, sedang kita wajib beramal kerana menurut perintahNya. 

Berkata Syeikh Abu Said al-Kharraz: Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong. Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya. Menyerah kpd Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan sesudah berbakti dan beramal saleh. 

Berkata Al-Hasan al-Bashri: Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdayakan banyak orang, sehingga mereka meninggalakan dunia ini dalam muflis, tiada mempunyai bekalan amal saleh sekali. Beliau menambah lagi; Sesungguhnya orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah Ta'ala. Manakala seorang Munafik pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan sentosa senpanjang masa.

Bila turunnya Rahmat Allah

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiyaa': 107) 

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. (Al-A'raaf: 56) 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 71) 

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat. (An-Nuur: 56) 

Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (An-Nuur: 77) 

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al-Hujuraat: 10)

Allah mengajar untuk bermohon rahmat dariNya 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Az-Zumar: 53) 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah: 286) 

(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.(A-li 'Imraan: 8) 

Mereka berdua (Nabi Adam a.s dan Hawa) merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (Al-A'raaf: 23) 

"Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata: ` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat '. (Al-Mu'minun: 109) 

Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat! (Al-Mu'minun: 118)

Sunday, November 29, 2009

Kematian



Kehidupan berlangsung tanpa disedari daripada detik ke detik. Apakah kamu tidak menyedari bahawa hari-hari yang kamu lalui semakin mendekatkan kamu kepada KEMATIAN sebagaimana juga yang berlaku bagi orang lain? Sepertimana firman Allah Taala yang bermaksud :

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.
Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” (QS. 29:57)

Setiap orang yang hidup di muka bumi ini ditakdirkan untuk MATI. Tanpa pengecualian, mereka semua akan MATI, setiap orang. Saat ini, kita tidak pernah menemukan jejak orang-orang yang telah meninggal dunia. Mereka yang saat ini masih hidup dan mereka yang akan hidup juga akan menghadapi KEMATIAN pada hari yang telah ditentukan. Walaupun demikian, masyarakat pada umumnya cenderung melihat KEMATIAN sebagai suatu peristiwa yang terjadi secara kebetulan saja. Cuba renungkan seorang bayi yang baru saja membuka matanya di dunia ini dengan seseorang yang sedang mengalami sakaratul maut. Keduanya sama sekali tidak berkuasa terhadap kelahiran dan KEMATIAN mereka. Hanya Allah yang memiliki kuasa untuk memberikan nafas bagi kehidupan atau untuk mengambilnya. Semua makhluk hidup akan hidup sampai suatu hari yang telah ditentukan dan kemudian akan MATI. Allah menjelaskan dalam Al-Quran tentang perilaku manusia pada umumnya terhadap KEMATIAN dalam ayat berikut :

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya,
maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,
kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah),
yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,
lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (QS. 62:8)


Kebanyakan orang menghindari untuk berfikir tentang KEMATIAN. Dalam kehidupan moden ini, seseorang biasanya menyibukkan dirinya dengan hal-hal yang sangat menjauhi KEMATIAN, mereka hanya berfikir tentang di manakah mereka akan belajar, di perusahaan manakah mereka akan bekerja, baju apakah yang akan mereka gunakan esok pagi, apa yang akan dimasak untuk makan malam nanti, hal-hal ini merupakan persoalan-persoalan penting yang sering kita fikirkan.

Kehidupan diertikan sebagai sebuah proses kebiasaan yang dilakukan sehari-hari. Pembicaraan tentang KEMATIAN sering dicela oleh mereka yang merasa tidak selesa mendengarnya. Mereka menganggap bahawa kematian hanyalah akan terjadi ketika seseorang telah lanjut usia, bahkan seseorang tidak ingin memikirkan tentang KEMATIAN dirinya.

Sekalipun begitu ingatlah, tidak ada yang menjamin bahawa seseorang akan hidup dalam satu jam berikutnya. Setiap hari, semua orang menyaksikan KEMATIAN orang lain di sekitarnya tetapi mereka masih tidak memikirkan tentang hari ketika orang lain menyaksikan KEMATIAN dirinya. Tidakkah dia berfikir bahawa kematian itu sedang menunggunya! Ketika KEMATIAN dialami oleh seseorang manusia, semua kenyataan dalam hidup tiba-tiba lenyap. Tidak ada lagi kenangan akan hari-hari indah di dunia ini.

Renungkanlah segala sesuatu yang kamu dapat lakukan saat ini.
Kamu dapat mengerdipkan mata kamu, menggerakkan badan kamu, berbicara, tertawa.

Semua ini merupakan fungsi tubuh kita.

Sekarang renungkan bagaimana keadaan dan bentuk tubuh kita setelah kita MATI nanti?

Bermula daripada saat kamu menghembuskan nafas untuk yang terakhir kalinya, kamu tidak ada apa-apa lagi selain sekujur tubuh. Tubuh anda yang diam dan terbujur kaku akan dimandikan untuk yang terakhir kalinya. Dengan dibungkus kain kapan, jenazah kamu kemudiannya akan dibawa ke kuburan dalam sebuah keranda. Setelah itu, jenazah kamu akan dimasukkan ke dalam liang lahad, maka tanah akan menutupi kamu. Ini adalah kesudahan hidup seorang manusia. Mulai saat tersebut, kamu hanyalah seseorang yang namanya hanya terukir pada batu nisan di kuburan.

Pada bulan-bulan atau tahun-tahun pertama KEMATIANmu, kuburan kamu akan sering dikunjungi. Seiring dengan berlalunya waktu, hanya sedikit orang yang datang. Beberapa tahun kemudian, tidak ada seorang pun yang datang mengunjungi pusara kamu. Sementara itu, keluarga terdekat kamu akan mengalami kehidupan yang berbeza setelah KEMATIAN kamu. Di rumah, ruang dan tempat tidur kamu akan kosong. Bahkan setelah pengebumian jenazahmu, sebahagian barang-barang milik kamu akan disimpan di rumah, baju, kasut, dan lain-lain yang dulu menjadi milik kamu akan diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Barang-barang anda di pejabat akan dibuang.


Pada awal tahun pertama KEMATIANmu, beberapa orang masih berkabung akan pemergian kamu kepada Allah Yang Maha Esa. Namun, masa yang bergerak pantas akan mempengaruhi ingatan-ingatan mereka terhadap masa lalu. Empat atau lima tahun kemudian, hanya sedikit orang saja yang masih mengenang kamu. Bahkan tidak lama kemudiannya, generasi baru akan muncul dan tidak ada seorang pun dari generasi kamu yang masih hidup di muka bumi ini. Apakah kamu masih diingat orang atau tidak, hal tersebut tidak ada gunanya lagi.

Sementara semua hal ini terjadi di dunia, jenazah yang dikebumikan akan mengalami proses pembusukkan yang cepat. Setelah seseorang manusia itu dimakamkan, maka bakteria-bakteria dan serangga-serangga berkembang biak pada mayat tersebut, hal tersebut terjadi kerana ketiadaan oksigen. Gas yang dilepaskan oleh jasad ini mengakibatkan tubuh jenazah menggembung, mulai dari daerah perut, yang mengubah bentuk dan rupanya. Buih-buih darah akan meletup dari mulut dan hidung kerana tekanan gas yang terjadi di sekitar diafragma. Selama proses ini berlangsung, rambut, kuku, tapak kaki, dan tangan akan terlepas. Seiring dengan terjadinya perubahan di luar tubuh, organ tubuh bahagian dalam seperti paru-paru, jantung dan hati juga membusuk. Sementara itu, pemandangan yang paling mengerikan terjadi di sekitar perut, ketika kulit tidak dapat lagi menahan tekanan gas dan tiba-tiba pecah, menyebarkan bau menjijikkan yang tidak tertahankan. Mulai dari tengkorak, otot-otot akan terlepas dari tempatnya. Kulit dan jaringan lembut lainnya akan tercerai berai. Otak juga akan membusuk dan tampak seperti tanah liat. Semua proses ini berlangsung sehingga seluruh tubuh menjadi kerangka.

Tidak ada kesempatan untuk kembali kepada kehidupan yang sebelumnya. Berkumpul bersama keluarga di meja makan, bersosial atau memiliki pekerjaan yang terhormat, semuanya tidak akan mungkin terjadi. Alangkah singkatnya, sekujur tubuh yang tadinya dapat dikenali, mengalami pengakhiran yang menjijikkan. Di lain pihak, anda atau lebih tepatnya jiwa anda akan meninggalkan tubuh ini segera setelah nafas anda berakhir. Sedangkan sisa dari tubuh anda akan menjadi sebahagian dari tanah.

Seandainya Allah ingin, tubuh itu tidak akan membusuk seperti kejadian di atas. Tetapi hal ini terjadi kerana padanya suatu hikmah yang tersembunyi yang sangat penting. Akhir kehidupan yang sangat dahsyat yang menunggu manusia, seharusnya menyedarkan dirinya bahawa ia bukanlah hanya tubuh semata-mata, melainkan jiwa yang dibungkus dalam tubuh. Dengan lain perkataan, manusia harus menyedari bahawa ia memiliki suatu kewujudan di luar tubuhnya.

Selain itu, manusia harus faham akan kematian tubuhnya - yang ia cuba untuk miliki seakan-akan ia akan hidup selamanya di dunia yang sementara ini. Tubuh yang dianggapnya sangat penting ini, akan membusuk serta menjadi makanan cacing suatu hari nanti dan berakhir menjadi rangka. Mungkin saja hal tersebut segera terjadi. Walaupun setelah melihat kenyataan-kenyataan ini, ternyata akal manusia cenderung untuk tidak peduli terhadap hal-hal yang tidak disukai atau diingininya. Bahkan ia cenderung untuk menafikan kewujudan sesuatu yang ia hindari pertemuannya. Kecenderungan seperti ini terlihat jelas sekali ketika membicarakan KEMATIAN. Kebanyakan orang melihat KEMATIAN itu jauh dari diri mereka. Anggapan yang menyatakan bahawa mereka yang MATI pada saat sedang tidur atau kerana kecelakaan merupakan orang lain, dan apa yang mereka [yang mati] alami tidak akan menimpa diri mereka!

Semua orang berfikir, belum saatnya mati dan mereka selalu berfikir selalu masih ada hari esok untuk hidup. Bahkan mungkin saja, orang yang meninggal dalam perjalanannya ke sekolah atau terburu-buru untuk menghadiri mesyuarat di pejabat juga berfikiran serupa. Tidak pernah terfikirkan oleh mereka bahawa esok hari akan memberitakan KEMATIAN mereka. Kemungkinan, ketika kamu membaca artikel ini, kamu berharap untuk tidak meninggal setelah kamu selesai membacanya atau bahkan meredhai kemungkinan tersebut terjadi. Mungkin anda merasakan bahawa saat ini belum waktunya MATI kerana masih banyak hal yang harus diselesaikan. Namun demikian, hal ini hanyalah alasan untuk menghindari sebuah kematian dan usaha-usaha seperti ini hanyalah hal yang sia-sia untuk menghindarinya :

Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu,
jika kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan,
dan jika (kamu terhindar daripada kematian)
kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja.” (QS. 33:16)


Manusia yang diciptakan seorang diri, haruslah waspada bahawa dia juga akan MATI seorang diri. Namun selama hidupnya, dia akan hidup untuk memenuhi segala keinginannya. Tujuan utamanya dalam hidup adalah untuk memenuhi hawa nafsunya. Namun, tidak seorang pun dapat membawa harta bendanya ke dalam kuburan. Jenazah dikuburkan hanya dengan dibungkus kain kapan yang dibuat dari bahan yang murah. Tubuh datang ke dunia ini seorang diri dan pergi dari dunia inipun dengan cara yang sama. Bekalan yang dapat dibawa seseorang setelah KEMATIAN hanyalah 3 perkara iaitu amal solehnya, sedekah jariah dan doa daripada anak yang soleh.

Surat Cinta Buat Isteriku

Ke ribaan isteriku yang tersayang…

Sayang, aku tenang di sini kerana ku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Hentikan tangisanmu di sana. Demi ketenanganku di sini. Yakinlah, perpisahan sebenar bukan kerana jaraknya destinasi. Tetapi oleh retaknya hati.

Perpisahan ini, insya-Allah akan menyuburkan cinta… sekiranya kita menerimanya sebagai satu didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Semoga perpisahan ini menguatkan jiwaku. Tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai Allah. Dan dengan cinta itu nanti semuga kita saling menyintai kerana Allah – cinta yang lebih suci.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan pelbagai alasan dan kemalasan. Aku pasrah dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya terlalu sakit, ubatnya pahit.

Sayangku,
Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.

Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa isteriku dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin, berharap terhadap-Mu.

Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar ditangannyalah nanti tertempa zuriat yang soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.

Ya Rahman…
Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan taqwa yang sejati.

Ya Rabbi…
Lembutkan hati isteriku agar mudah ia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu. Hancur dan remuk-redamlah dirinya dalam menerima didikan-Mu kerana di situlah pengiktirafan dia sebagai hamba-Mu.

Sayang,
Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun lebih ramai yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada cinta yang ilusi begini… pertemuan adalah perpisahan. Tapi bila cinta itu cinta hakiki, berpisahkanpun masih bertemu.

Justeru, perpisahan ini untuk menyelamatkan. Perpisahan ini adalah mehnah yang akan menguatkan kembali ikatan perkahwinan. Ia adalah satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita. Agar semuanya bergantung dengan ALLAH semata. Jangan kita bergantung dengan selain-Nya.

Makhluk yang terhubung atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan pergi jua. Sesungguhnya, perpisahan adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan yang bernama suami, isteri, ibu, bapa, anak dan saudara.

Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila. Ketika itu jika hati tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat, kecewa untuk meneruskan hidup. Dan paling khuatir, terhakis iman, tercalarnya tauhid.

Sayang...
bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan dipisahkan istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak, pasti diputuskan oleh MATI. Justeru… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti datang.

Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Apakah ketika itu hati akan redha? Ah, lantaran benci merasainya, fikiran dikunci daripada memikirkannya…. Padahal itu sudah pasti. Oh! Tuhan, benci betul rupanya kita kepada mati.

Angkuh betul kita dengan ‘milik’ pinjaman Allah ini. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita. Terlalu berat untuk memulangkannya. Sebab ‘memulangkannya’ bererti berpisah!

Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya.

Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:

“Sesungguhnya kita kepunyaan Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”

Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini. Namun jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik.

Doaku dan doamu pasti dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah segalanya dengan satu keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang penting… bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semoga Allah tingkatkan kesabaran, keimanan dan tawakal kita menghadapi apa jua takdir-Nya.

Isteriku, jangan dipinta ringankan ujian, tetapi pintalah ‘beratnya’ iman untuk menghadapi ujian itu!

www.iluvislam.com

Mutiara kata hari ini



MANA-MANA PEREMPUAN YANG MELAKUKAN
solat lima waktu,
berpuasa di bulan ramadhan,
menjaga kehormatannya dari yang haram
dan mentaati suami,
maka masuklah ia ke syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki"
( Hadis Riwayat Ahmad )